Fuh, sekejap je rasa dah nak masuk fasa terakhir Ramadhan. Kalau korang perasan, fasa 10 malam terakhir nilah yang paling 'mahal' dan paling ditunggu-tunggu oleh semua orang mukmin. Kenapa? Sebab dalam 10 malam nilah tersimpannya rahsia Lailatulqadar.
Macam yang kita selalu dengar dalam Surah Al-Qadr, malam ni punya value lebih baik daripada 1000 bulan. Bayangkan, kita beribadah satu malam, tapi ganjaran dia macam kita beramal lebih 80 tahun! Allahuakbar.
Kenapa Allah Turunkan Lailatulqadar?
Ada satu cerita menarik masa zaman Nabi SAW dulu. Rasulullah pernah cerita pasal seorang lelaki Bani Israel yang berjuang di jalan Allah selama 1000 bulan tanpa henti. Para sahabat bila dengar terus rasa kagum (dan mungkin rasa 'kalah' sebab umur kita umat akhir zaman ni pendek-pendek je).
Sebab itulah Allah turunkan Surah Al-Qadr ni sebagai hadiah untuk kita. Walaupun umur kita tak panjang, tapi kalau kita 'dapat' malam ni, pahala kita boleh potong amalan orang zaman dulu. Adil kan? Allah itu Maha Pemurah.
Rasulullah Pun 'Pulun' Habis
Nabi kita sendiri, kalau masuk je 10 malam terakhir, baginda punya vibe lain macam. Dalam hadis ada sebut baginda akan "mengikat kainnya". Maksudnya bukan setakat kemaskan pakaian, tapi baginda betul-betul bersungguh pulun ibadah sampai tak tidur malam.
Bukan Nabi je yang bangun, baginda siap kejutkan ahli keluarga sekali untuk beribadah. Maknanya, spirit 10 malam terakhir ni kena buat berjemaah dengan anak bini kat rumah. Baru berkat!
Macam Mana Nak Cari Lailatulqadar?
Ramai yang tanya, malam bila sebenarnya Lailatulqadar ni? 21 ke? 27 ke?
Ikut pesan Nabi, carilah pada malam-malam yang ganjil (21, 23, 25, 27 & 29 Ramadhan). Tapi rahsia sebenarnya, Allah sembunyikan tarikh tepat tu supaya kita struggle beribadah setiap malam. Takdelah kita pilih-pilih malam tertentu je baru nak nampak muka kat masjid, kan?
Tips doa yang Nabi ajar: Kalau rasa dah jumpa malam tu, amalkan doa ni:
"Allahumma innaka 'afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'anni"
(Ya Allah, Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah aku).
Kena Nampak Cahaya Ke Baru Kira "Dapat"?
Ada macam-macam cerita pasal tanda-tanda Lailatulqadar ni pokok sujudlah, nampak cahaya terang-benderanglah, dengar salam malaikatlah.
Tapi bagi aku, pendapat Imam Tabari paling menenangkan. Beliau kata, tak semestinya kita kena nampak semua benda ajaib tu untuk "dapat" Lailatulqadar. Yang paling penting kita menghidupkan malam dengan ibadah, yakin dengan janji Allah and kita buat ikhlas semata-mata kerana-Nya.
Tak nampak pokok sujud pun takpe, janji hati kita yang "sujud" dan bertaubat pada malam tu. Itu lebih utama.
Jadi, jomlah kita utilize baki Ramadhan yang ada ni. Kurangkan sikit masa kat bazar atau scroll Fesbuk, kita fokus 'buru' malam yang paling istimewa ni. Mana tahu, ini Ramadhan terakhir kita?
Semoga kita semua dipilih Allah untuk bertemu dengan Lailatulqadar tahun ni. Amin.

No comments:
Post a Comment