Fuh, sedak sengoti rasa badan bila dapat baki cuti sempena Hari Wilayah yang di combo sekali dengan Thaipusam ni. Memang satu nikmat yang tak boleh dijual beli bila dapat cuti panjang macam ni tanpa perlu fikir pasal kerja ofis yang berlambak kat meja tu. Jadi untuk mengisi fasa healing yang sangat diperlukan ni, aku dengan isteri buat keputusan untuk turun ke Port Dickson hujung minggu hari tu. Walaupun sejujurnya aku dah rasa bosan nak mati sebab entah berapa puluh kali dah kitorang ke PD sejak kahwin dulu, tapi nak buat macam mana... situ je la pantai yang paling dekat, indah permai dan mesra poket abahanda ni.
Sebenarnya ada niat lain juga nak ke pantai ni, bukan apa, aku nak bagi si Mehdi ni mandi air garam sikit. Biar masin sikit badan tu sebab sekarang ni dia punya manis tu sampai abah pun boleh cair tengok dia! Hahaha. Nak turun sampai Kuantan semata-mata nak cari pantai memang tak la, jauh sangat weh mahu berasap enjin Iriz aku dah la gearbox pun dah hujung hujung tanduk. Plan asal kitorang nak gerak hari Sabtu, tapi harey betul, highway LEKAS punya la jem teruk sampai ke depan Stadium Bukit Jalil pun dah sangkut. Sudahnya Sabtu tu kitorang pergi makan itik je lah kat kedai area rumah buat ubat hati yang lara.
Pastu si Farid pulak ajak pergi shopping raya, haram jadah betul budak bongsu ni. Puasa pun tak start lagi dah gelabah nak cari baju. Dia ajak pun sebab Bulan Bintang tengah buat cabutan bertuah, mana tahu ada rezeki dapat motor ke kereta ke. Geng bini bini kitorang apa lagi, memang menyokong secara sebulat suara lah. Aku pun join je lah alang alang nak beli baju. Tema tahun ni Rich Brown katanya, walaupun hakikatnya si pemakainya nanti Poor je. Hahaha! Lepas je beli kat situ, kitorang pun duk scan cabutan bertuah kat luar butik tu. Dan dan pulak bos Bulan Bintang tegur kitorang siap tengok sekali apa yang kitorang dapat. Memang tak ada luck weh, aku cuma dapat voucher Tealive je. Farid untung sikit dapat free shoes dari Tomaz. Rezeki budak anak kata nya!
Plan ke PD yang tertunda tu kitorang bawa ke hari Ahad dengan azam nak "tayar golek" pukul 7.30 pagi. Tapi tup tup pukul 11 pagi baru masing masing tersedar dari mimpi. Biasalah bapa orang ni bila dah dapat bantal memang payah nak lepas! Tapi tak ada hal, kitorang tetap gerak sebab barang barang semua dah siap kemas malam tu. Singgah kejap cari ayam sikit nak buat bakar bakar bagi ada vibe picnic sikit. Sampai je PD, kitorang terus menghala ke Pantai Cermin sebab situ antara port yang best kalau nak pasang khemah dengan buat bakar bakar secara terbuka hasil kajian bini aku.
Macam biasa lah kerja pasang khemah ni memang kerja jantan sejati. Bini aku nengokkan saja sambil tangan dia sibuk siang siang ayam nak buat perap. Setel je pasang khemah dengan kemah keminya, aku jugaklah yang kena jadi hero nyalakan api. Punya la puas aku merayap pusing satu pantai cari batu nak buat tungku tempat bakar ayam tu sampai menitik nitik peluh jantan kat dahi ni. Bau asap kayu mati dengan arang batu campur pulak bau ayam kena bakar tu memang asyik, rasa macam terus hilang segala beban kerja minggu lepas bila dengar bunyi lemak ayam jatuh atas bara tu - ssssss!
Mehdi pulak macam biasa asalkan ada mainan dengan ada pasir dia memang tak kacau aku dah. Khusyuk betul dia main pasir, dalam hati aku doa jangan la dia pergi bedal makan pasir tu sudah! Sebab memang tak plan ada aktiviti berat apa apa pun, kitorang just habiskan masa sampai Maghrib selang seli dengan mandi, makan, mandi, makan. Kononnya dengan mandi laut tu boleh la bakar balik lemak lemak ayam yang kitorang bedal tadi. Ye dokk? Malam tu kitorang memang pakat tak ambil dinner dah sebab perut masing masing dah sendat macam nak meletup.
Apa apa pun Mehdi memang suka sangat main air. Aku rasa budak mana mana pun memang pantang nampak air, itulah sebab utama aku gigih bawa dia ke sini. Tapi yang paling win, sempat lagi aku kena pau pelampung dinosor kat gerai tepi pantai tu. Melayang RM 25 aku dik! Yang buat aku rasa nak marah pun ada nak gelak pun ada, pelampung tu rupanya ada bocor halus. Gigih aku tiup sampai nak putus nyawa, sekali bila letak atas air selang kejap je dah kempis balik dinosor tu.
Tapi tak apa lah janji kitorang semua enjoy. Biarlah Mehdi membesar dengan memori indah macam ni. Mana tahu bapak dia ni umur tak panjang ke apa, sekurang kurangnya dia ada memori mandi air garam dengan abah dia kat Pantai Cermin.




