Rasa macam baru semalam je aku melangkah masuk ke bangunan ni buat pertama kali pada tahun 2016. Masa tu nama kat depan bangunan masih lagi gah dengan Hewlett Packard Enterprise (HPE). Aku datang sebagai seorang junior yang masih pucuk muda, banyak benda yang aku tak tahu, dan jujurnya ada rasa sedikit intimidated dengan dunia korporat yang serba laju ni. Takut weh, rasa macam kuman je kat tengah tengah lobby besar tu. Tapi hari ni setelah lebih kurang 6 tahun berlalu, aku berdiri di sini untuk ucapkan selamat tinggal buat kali kedua. Tak sangka betul journey aku kat sini sejauh ni.
DXC dan HPE ni bukan sekadar tempat aku cari makan, tapi inilah sekolah di mana segala galanya bermula. Dari seorang junior yang hanya reti mengikut arahan sampailah aku diberi kepercayaan yang besar untuk menggalas tanggungjawab sebagai lead, melatih team, dan berdepan dengan client. Kepuasan bila tengok team yang kita train tu berjaya, itu satu perasaan yang memang mahal. Rasa bangga dia tu lain macam, sebiji macam rasa bangga bila aku berjaya rampage masa main Dota 2.
Tapi kenapa aku langkah kaki kali ni? Kadang kadang kita kena berani keluar dari zon selesa untuk terus grow. Peluang baru yang datang ni bukan sekadar pasal offer yang lagi masyuk lagi lagi sekarang ni harga barang dapur semua tengah mencanak naik, tapi ia adalah ruang untuk aku asah lagi expertise aku ke tahap yang lebih tinggi. Dan yang paling penting, faktor peribadi yang tak boleh aku nafikan. Sejak dah bergelar suami ni, priority aku dah berubah 360 darjah. Aku rasa ini masa yang terbaik untuk aku tinggalkan hidup graveyard shift dan 24/7 rotations yang selama ni jadi teman setia.
Cukuplah fasa tidur siang hari macam kelawar atau terpaksa kerja masa orang lain tengah sakan bedal rendang masa raya kat kampung. Memandangkan kita pun baru je masuk fasa endemik pandemik, aku nak rasa jugak macam mana orang lain hidup normal iaitu kerja siang dan malam boleh lepak balkoni minum kopi ditemani bini. Lagipun penat graveyard shift ni lain macam, dia punya penat tu sampaikan kalau aku tengah main Dota 2 pun boleh lelap depan PC. Peluh jantan kat dahi ni pun dah tak mampu nak lawan rasa mengantuk tu lagi.
Sedih mestilah ada. Lebih kurang 6 tahun plus minus kat Cyberjaya ni bukan tempoh yang singkat beb. Terlalu banyak memori yang dah melekat kat dinding pejabat ni. Kawan kawan yang dah macam keluarga sendiri dan leadership team yang banyak bagi bimbingan serta kepercayaan. Terima kasih sangat sangat. Tanpa korang aku mungkin masih lagi junior yang terkial kial kat bawah meja. Walaupun ini kali kedua aku "gerak luu" dari sini, hati kecil aku tetap rasa sebak.
Tapi macam pepatah kata, never say never. Dunia ni kecil je, pusing pusing mungkin kita akan ngeteh lagi di masa hadapan. Kepada semua rakan sekerja di DXC, terima kasih untuk segalanya. Halalkan makan minum dan maafkan segala salah silap aku sepanjang kita bekerjasama. Moga korang terus maju jaya kat sini. Next chapter, here I come. Bismillah!


No comments:
Post a Comment