Harini, Sabtu 10 Januari 2026, jadual aku memang padat gila, bak kata orang putih, hectic habis! Pohpalehweh!
Ceritanya bermula pagi tadi. Macam korang tahu, kalau ada konsert besar dekat Stadium Bukit Jalil macam harini ada konsert Dato’ Siti Nurhaliza, memang jalan depan rumah aku ni akan jem gila babi. Tak sanggup aku nak hadap hadap jem tu, jadi awal-awal pagi lagi aku dah shoot gerak ke Shah Alam.
Tujuan utama ke Shah Alam tu sebenarnya nak menolong abang aku repair meja makan dia. Biasalah, aku ni bukan setakat jaguh sukan atau jutawan, tapi pelbagai skills bertukang pun aku dah tuntut. Sambil menyelam minum air, alang-alang tu bolehlah bagi Mehdi lepak dengan sepupu dia, Kakak Eva, dan ahli baru dalam keluarga abang aku, baby Elhan. Lagipun, abang aku baru angkat Jaecoo J7, nak jugak merasa naik kereta baru. Hahahaha
Aduh, si Mehdi ni... duduk rumah orang bukan main buas lagi! Berlari sana sini, main mainan orang macam rumah sendiri. Rasa nak sekeh pun ada tengok perangai dia tu. Sejak dah masuk usia setahun lebih ni, dia memang tengah fasa nak memanjat dan terjun sana sini. Masa dalam perjalanan ke Shah Alam tadi pun, boleh pula dia jatuh dari carseat sampai benjol kepala. Menangis tu kejap je, lepas tu sambung balik aktiviti buas dia. Tabah jelah hati abahanda ni.
Selesai urusan kat rumah abang, aku dengan isteri buat keputusan nak melawat kubur arwah Mussa Adni. Jujur cakap, memang dah agak lama kitorang tak ke sana. Bukan sebab lupa, tapi kekangan masa dan sebelum ni Mehdi pun masih bayi sangat. Orang tua-tua kata tak elok sangat bawa bayi ke kawasan kubur.
Sekarang ni memandangkan Mehdi dah besar sikit, kitorang bawalah dia sekali melawat tempat abang dia berehat. Dari dia kecil lagi, aku dengan isteri selalu ceritakan perihal arwah Mussa dekat dia. Dia faham ke tidak, itu aku tak pasti. Tapi tadi, masa kat kubur, sayu je hati tengok dia peluk batu nisan abang Mussa. Mungkin naluri adik-beradik tu ada, dia seolah-olah tahu siapa yang "ada" di situ.
Habis ziarah, kitorang singgah kejap ke Paya Jaras. Sekarang tengah musim durian tengah murah, memang rugi kalau tak beli. Sedap betul dapat memilih durian segar. Kitorang beli sikit sebanyak je buat syarat, yelah kat rumah pun cuma bertiga. Kalau beli banyak sangat tak habis, jawabnya jadi tempoyak jelah nanti.
Sampai je rumah, apa lagi... terus melantak makan durian dan rehatkan badan. Walaupun kitorang tak pergi konsert Dato’ Siti kat Bukit Jalil tu, kitorang tetap "menyokong" dari jauh. Sempatlah jugak aku dengan isteri berkaraoke berjemaah sebagai tanda solidariti buat TokTi.
Penat memang penat, tapi itulah kemanisan hidup berkeluarga. Moga Mehdi terus membesar dengan sihat dan ceria.
Welcome to the hectic weekend! Jom sambung makan durian!
